Site icon TechNave BM

Presiden Samsung dedah info dan 5 peranti berkuasa untuk Next Normal Galaxy Unpacked

Sudah kita sedia maklum tentang situasi pandemik yang telah meningkatkan arus industri telefon pintar secara pantas. Presiden dan Ketua Perniagaan Komunikasi Mudah Alih Samsung Electronics, TM Roh menyatakan bahawa ketangkasan operasi atau “keupayaan untuk mengutamakan sumber dan menjadi efisien, sejajar dengan pengaplikasian trend dan kecekapan bertindak untuk hari seterusnya” adalah penting untuk semua. Usaha ini akan diperkenalkan melalui acara Galaxy Unpacked akan datang pada 5 Ogos 2020.

Melalui Next Normal, beliau mendedahkan di siaran blognya tentang “5 peranti berkuasa baharu” pada acara Galaxy Unpacked. Anda bakal dibenarkan untuk “menikmati hidup sepenuhnya dengan peranti-peranti ini di tangan (di telinga dan pergelangan tangan anda)”. Penawaran ini memberi bayangan bahawa kita bukan sahaja boleh menjangkakan Samsung Galaxy Note20, tetapi juga Galaxy Buds Live/Beans, Galaxy Watch 3 dan Galaxy Fit baharu.

Tambah beliau, “Next Normal dari Samsung juga bakal menjadi saksi untuk inovasi yang lebih berani”. Pernyataan ini memberi bayangan tentang peranti boleh lipat mereka yang seterusnya iaitu Galaxy Z Fold 2. Peranti ini telah didedahkan oleh sumber tidak rasmi terdahulu dengan sokongan 5G (kami juga menjangkakan Note20 untuk tampil dengan ciri ini).

Siaran blog ini turut memaklumkan mengenai integrasi dan “kolaborasi dengan Google, Microsoft, Netflix dan Spotify” pada peranti Galaxy. Hal ini termasuklah untuk mengoptimumkan panggilan video, perkongsian mesej, gambar dan kalendar yang lebih mudah dengan sambungan ke peranti Microsoft. Bukan itu sahaja, aspek gaming pada Xbox turut termasuk dalam kolaborasi dengan peranti Galaxy ini.

Untuk pengetahuan anda, anda boleh mengikuti acara Galaxy Unpacked pada 5 Ogos 2020 ini. Untuk itu, nantikan pautan tontonan melalui TechNaveBM.com. Apakah peranti yang lain yang mungkin hadir pada acara tersebut? Beritahu pandangan anda di laman Facebook kami dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version