Site icon TechNave BM

Program Jaringan Prihatin dilanjut sehingga 30 September 2021

Pada Mei lalu, kerajaan telah melancarkan pakej bantuan kepada golongan B40 melalui Program Jaringan Prihatin. Program ini sepatutnya berakhir pada 31 Ogos tetapi telah dilanjutkan sehingga 30 September bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) melalui satu ciapan di Twitter, menyatakan bahawa program ini memberi bantuan sebanyak RM180 atau RM300 kepada golongan B40 yang membolehkan mereka memiliki telefon pintar atau menikmati pelan jalur lebar internet.

Suruhanjaya itu menambah lagi, ini bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam gelombang pendigitalan ke arah ekonomi digital. Jaringan Prihatin adalah satu inisiatif di bawah Belanjawan 2021 dan ditambah baik di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang dilancarkan kerajaan dengan peruntukan 3.5 bilion.

Bantuan ini secara automatik boleh digunakan kepada mereka yang telah membuat pendaftaran dari 5 Mei sehingga 31 Julai menerusi 12 syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian iaitu Celcom, Digi, Maxis, Mcalls, redONE, speakOUT, Tune Talk, U Mobile, unifi Mobile, XOX Mobile, YES dan Yoodo.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version