Pada hari ini, Samsung Malaysia telah melancarkan The Freestyle iaitu sebuah projektor kecil dan ringan yang mudah dibawa ke mana-mana untuk memancarkan tayangan video ke atas dinding.
Projektor ini boleh memancarkan saiz skrin sehingga 100 inci dan ia boleh dihubungkan kepada televisyen, telefon pintar atau komputer anda. Pancarannya boleh diratakan secara automatik (auto-leveling, auto-keystone) jika anda meletakkan The Freestyle di atas permukaan senget.
Pemancarnya pula boleh disengetkan dengan sudut 180°, jadi anda boleh pancarkan ke atas dinding atau siling. Tenaga untuk projektor ini boleh disediakan daripada sebuah bateri luaran USB-PD 50W/20V dan dihubungkan melalui port USB-C.
Projektor ini turut dilengkapi pembesar suara 360° 5W dan sistem pembantu suara Samsung Bixby, jadi anda boleh melaraskan tetapannya dengan hanya menyuarakan arahan anda.
The Freestyle akan dijual dalam pasaran Malaysia pada harga RM4,999. Pra-tempahan akan dibuka di laman web Samsung Malaysia pada 7 hingga 31 Mac 2022 dan setiap pra-tempahan akan disertakan dengan sarung The Freestyle Case & Skin (bernilai RM489) serta e-baucar Samsung Online untuk mendapatkan The Freestyle Battery Pack (bernilai RM999).
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan produk unik ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

