Site icon TechNave BM

Proton akan buat pengumuman berkenaan kenderaan elektrik pada 12 Jun 2024

Umum diketahui bahawa syarikat kenderaan tempatan Proton sedang membangunkan kenderaan elektriknya (EV) yang pertama dan kini nampaknya mereka akan membuat pengumuman pertama berkenaan EV tersebut. Dalam media sosial Proton, mereka telah berkongsi beberapa gambar acahan (teaser) yang menunjukkan sebuah pengumuman berkaitan teknologi EV akan dibuat pada hari Rabu, 12 Jun 2024.

Dalam laman Facebook, Proton telah membuat kiraan detik untuk tarikh 12 Jun dengan pelbagai kapsyen yang menunjukkan pelancaran EV mereka. Semalam, mereka memuat naik sebuah gambar yang menunjukkan tiga hari sebelum pengumuman tersebut, dengan teks “Membuka laluan untuk masa depan hijau (Pave the way to a greener future)” serta penggunaan hashtag #PROTONEV dan #StartofSomethingElectrifying.

Pada hari ini pula, gambar acahan baru menunjukkan dua hari sebelum pengumuman EV, dengan teks “Memupuk teknologi terkini (Embrace latest technology)“. Dalam ruangan kapsyen, Proton menulis selepas 41 tahun membangunkan teknologi pemanduan, kini syarikat itu akan membuka lembaran baharu dalam teknologi elektrik.

Pengumuman EV Proton ini akan dibuat pada 12 Jun 2024 jam 6:00 petang dan ia akan disiarkan secara langsung dalam Facebook Proton. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version