Proton baru-baru ini mempertontonkan kenderaan elektriknya yang terbaru, Proton e.MAS 5, buat kali pertama kepada orang ramai sewaktu temasya Perbarisan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos.
Dalam perbarisan tersebut, sebuah Proton e.MAS 5 mengetuai konvoi Proton sebagai lambang perpaduan dan langkah ke hadapan. Ia dibalut dengan corak pelekat pembalut kereta unik yang diinspirasikan daripada kemajuan Malaysia sejak kemerdekaannya pada 1957.
Kenderaan ini bakal dilancarkan untuk pasaran umum pada suku keempat 2025 dan bakal menjadi kenderaan kedua bawah jenama Proton e.MAS selepas e.MAS 7 dilancarkan pada 2023. Konvoi ini turut disertai oleh 12 unit e.MAS 7 yang dipandu sendiri oleh para pemiliknya.
e.MAS 5 merupakan sebuah kenderaan elektrik mampu milik dengan kegunaan praktikal. Ia mempunyai saiz kompak dalam segmen B hatchback serta menawarkan 32 ruang simpanan dan bonet hadapan berkapasiti 70 liter.
Proton mengatakan ia direka khas untuk gaya hidup bandar, dengan kawalan pemanduan yang lincah untuk menyusuri jalan-jalan kecil dan sistem bantuan pemandu canggih seperti kamera tambahan di jalan raya.
Jika anda ingin melihat e.MAS 5 dengan lebih dekat, anda boleh hadirkan diri ke Jelajah e.MAS Tour MISI 5 yang sedang berlangsung di pelbagai lokasi seluruh negara. Perlu diingati bahawa lokasi yang berlainan diadakan pada tarikh yang berbeza, jadi jangan lupa untuk baca dahulu artikel mengenainya.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Proton e.MAS 5 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

