Site icon TechNave BM

Proton e.MAS 5 memperoleh lebih 1.6K tempahan dalam masa 24 jam

Pada dua hari lalu, tempahan untuk kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS 5 dibuka kepada orang ramai. Hari ini, PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON mengumumkan bahawa mereka telah menerima 1,607 tempahan dalam tempoh hanya 24 jam selepas pra-tempahan dibuka pada 4 Oktober 2025.

Sambutan luar biasa ini hadir selepas acara siaran langsung pelancaran yang mencatat rekod baharu, menandakan pembukaan rasmi tempahan e.MAS 5 di Proton e.MAS Nilai. Acara itu disiarkan secara langsung di pelbagai platform media sosial bagi memperkenalkan kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai apa yang PROTON gelar sebagai “EV untuk Rakyat.”

Siaran langsung tersebut yang merupakan pertama seumpamanya bagi Proton, disiarkan serentak di lapan saluran TikTok dan satu halaman Facebook, termasuk akaun rasmi Proton e.MAS serta rakan automotif seperti Nazz & Co dan SoyaCincau. Siaran itu berjaya menarik 572,000 penonton secara langsung dan jumlah tontonan kini telah melebihi satu juta sejak hujung minggu pelancarannya.

“Kami amat terharu dengan sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia terhadap Proton e.MAS 5,” kata Encik Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET. “Misi kami sentiasa untuk menjadikan pemilikan EV lebih mampu milik dan mudah diakses oleh semua. Dengan e.MAS 5, kami sedang merealisasikan visi itu. Ia benar-benar EV paling mampu milik di Malaysia yang dibina khas untuk Rakyat.”

Dipasarkan sebagai EV khas untuk pemanduan di bandar, Proton e.MAS 5 menggabungkan reka bentuk kompak segmen B dengan ruang dalaman setanding segmen C, menawarkan gabungan kelincahan dan keselesaan untuk pemanduan harian.

Dengan harga anggaran antara RM60,000 hingga RM80,000, e.MAS 5 menjadi titik permulaan praktikal untuk mobiliti elektrik, satu langkah berani dan bersejarah dalam industri EV Malaysia. Dengan pacuan roda belakang, radius pusingan terbaik dalam kelasnya dan paparan status pengecasan dalam masa nyata, e.MAS 5 direka untuk menjadikan pemanduan elektrik bukan sahaja mampu milik, tetapi juga menyeronokkan.

Dengan bayaran tempahan RM99, rakyat Malaysia boleh menjadi antara pemilik terawal dan menikmati faedah istimewa seperti kad Proton e.MAS Touch ‘n Go NFC edisi terhad yang sudah mempunyai kredit bernilai RM100 dan rebat RM500 untuk yuran tempahan (terhad kepada 5,000 pelanggan pertama).

Tempahan boleh dibuat melalui laman web rasmi Proton e.MAS atau di mana-mana 43 pengedar Proton e.MAS di seluruh negara. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version