Site icon TechNave BM

Proton e.MAS 7 PHEV kini rasmi dengan jarak pemanduan lebih 1,200km bermula RM109,800

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat milik penuh PROTON, hari ini melancarkan Proton e.MAS 7 PHEV sebagai model terbaharu dalam barisan e.MAS yang menggunakan teknologi hibrid plug-in.

Proton e.MAS 7 PHEV dibangunkan dengan konsep pemanduan elektrik sebagai teras utama manakala enjin petrol berfungsi sebagai sokongan tenaga dan hanya memacu roda apabila lebih efisien termasuk ketika pemanduan lebuh raya dan laluan berbukit jarak jauh. Model ini dibina di atas platform GMA dengan susun atur komponen yang lebih ringkas dan efisien.

Kenderaan ini menggunakan sistem pacuan EM-i yang menekankan pemanduan elektrik untuk kegunaan harian serta dilengkapi Transmisi Hibrid Khusus 11-dalam-1 (DHT) yang mengurus penghantaran kuasa tanpa pertukaran gear konvensional. Sistem ini mengimbangi penggunaan kuasa elektrik dan petrol secara automatik mengikut situasi pemanduan.

Proton e.MAS 7 PHEV turut menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) yang direka untuk ketahanan haba dan penggunaan jangka panjang sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia. Sistem pengurusan tenaga akan memilih sumber kuasa paling cekap secara automatik termasuk ketika bateri tidak dicas sepenuhnya.

Model ini menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Mod Pure untuk pemanduan elektrik sepenuhnya di kawasan bandar, Mod Hybrid yang menggabungkan kuasa elektrik dan petrol bagi pemanduan lebuh raya atau laluan berbukit serta Power Mode untuk pecutan dan respons lebih pantas menggunakan output gabungan sistem.

Menjelang pelancaran, Proton e.MAS 7 PHEV telah menamatkan perjalanan sejauh 1,104.5 km dari Pulau Pinang dan Johor Bahru ke PROTON Centre of Excellence di Subang Jaya tanpa pengisian bahan api atau pengecasan tambahan. Kenderaan itu masih mencatat baki jarak 189 km yang menjadikan jangkauan keseluruhannya melebihi 1,200 km.

Kos penyelenggaraan dianggarkan kekal di bawah RM8,000 bagi bagi tempoh 10 tahun dengan jadual servis sekali setahun atau setiap 15,000 km. Proton e.MAS 7 PHEV menampilkan bar LED depan penuh, lampu belakang LED 3D sepenuhnya, rim aloi 19 inci dan bumbung panorama. Bahagian dalaman hadir dengan susun atur minimalis, pencahayaan ambien 256 warna, tempat duduk berbalut leatherette serta sistem audio 16 pembesar suara.

Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu PRIME, PREMIUM dan PREMIUM PLUS. Harga atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia bermula RM109,800 untuk PRIME, RM123,800 untuk PREMIUM dan RM129,800 untuk PREMIUM PLUS. Bagi Sabah dan Sarawak, harga masing-masing ialah RM112,800, RM126,800 dan RM132,800.

5,000 pelanggan pertama layak menerima rebat pelancaran khas RM4,000. Tempahan kini dibuka dengan yuran tempahan RM99. Pemilik akan menerima waranti kenderaan selama enam tahun tanpa had perbatuan serta waranti bateri dan komponen berkuasa tinggi selama lapan tahun atau 160,000 km. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Proton e.MAS 7 PHEV dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version