PRO-NET melancarkan kempen Golden Test Drive Proton e.MAS yang berlangsung di seluruh negara dari 13 April hingga 17 Mei 2026 bagi menggalakkan orang ramai mencuba dan memiliki kenderaan elektrik (EV) serta hibrid plug-in (PHEV) bawah jenama Proton e.MAS. Kempen terbuka kepada orang awam yang melakukan pandu uji dan membuat tempahan bagi model Proton e.MAS 5, Proton e.MAS 7 atau Proton e.MAS 7 PHEV melalui pengedar rasmi.
Peserta juga perlu melengkapkan penyertaan bagi melayakkan diri dalam cabutan ganjaran. Sebanyak 30 jongkong emas seberat 3 gram ditawarkan sepanjang tempoh lima minggu kempen dengan enam pemenang dipilih setiap minggu. Nilai keseluruhan ganjaran dianggarkan sekitar RM120,000. Selain itu, satu hadiah utama berupa pakej perjalanan lima hari empat malam untuk dua orang ke lawatan lombong emas di Australia turut ditawarkan.
Tiga lagi pemenang akan menerima jongkong emas seberat 5 gram sebagai hadiah tambahan. Menurut wakil PRO-NET, sesi pandu uji memainkan peranan penting dalam membantu pengguna memahami pengalaman sebenar penggunaan EV, khususnya bagi pembeli kali pertama. Beliau turut menyatakan bahawa faktor kos bahan api dan keadaan ekonomi semasa menjadi antara pendorong kepada peralihan ke arah mobiliti elektrik.
Menariknya, Proton e.MAS kini menyumbang satu daripada setiap dua kenderaan elektrik yang dijual di Malaysia pada tahun 2026 dan meletakkannya sebagai antara jenama utama dalam segmen tersebut. Sebagai sokongan kepada kempen ini, siri jelajah Proton e.MAS akan diadakan di beberapa lokasi terpilih termasuk Queensbay Mall di Pulau Pinang (15–19 April), AEON Melaka (19–24 Mei) dan East Coast Mall di Pahang (24–28 Jun).
Pengunjung berpeluang melihat model kenderaan secara dekat serta mendapatkan maklumat lanjut daripada wakil jualan. Penyertaan kempen ditutup pada jam 6 petang, 17 Mei 2026 dan tertakluk kepada terma serta syarat yang ditetapkan. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

