Site icon TechNave BM

Proton X90 diumum sebagai kereta Proton pertama dalam kategori kenderaan NEV

Proton Holdings Bhd (Proton) telah mengumumkan Proton X90 sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaru dan kereta pertamanya dalam kategori kenderaan tenaga baharu (new energy vehicle, NEV).

Proton X90 juga ialah SUV ketiga oleh Proton, selepas Proton X70 dan Proton X50. Ia dilancar bersempena dengan ulang tahun ke-40 syarikat itu dan akan memenuhi segmen premium, moden serta keluarga.

Kenderaan ini didatangkan dalam empat varian iaitu Standard, Eksekutif, Premium dan Perdana, manakala pilihan warnanya terdiri daripada putih, perak, kelabu, coklat, merah delima dan biru laut.

Ia menawarkan konfigurasi tujuh tempat duduk, atau enam tempat duduk dengan kerusi individu di barisan kedua.

Sebagai sebuah NEV, ia dilengkapi sistem motor elektrik sinergi (EMS) 48V yang menyepadukan enam komponen teras, seperti motor belt-starter generator (BSG) 48V, pengubah (converter) DCDC, bateri lithium-ion 48V, sistem pengurusan bateri dan sistem kawalan modul hibrid.

Sebagai sebuah kenderaan elektrik hibrid ringan, ia turut dilengkapi enjin 1.5L TGDi yang boleh memberi gabungan output 190PS dan 300Nm. Sistem EMS 48V itu sendiri menyediakan dorongan tambahan sebanyak 13PS dan 45Nm.

Proton mengatakan sistem ini meningkatkan kecekapan bahan api, mengurangkan pelepasan gas serta memberi kuasa dan tork tambahan untuk prestasi lebih baik.

Ia turut dilengkapi transmisi 7-kelajuan dwicekam (dualclutch transmission, DCT) yang pantas dan dioptimumkan dengan rangkaian kuasa (powertrain) untuk pengalaman memandu yang lancar.

Proton X90 akan dipasang di kilang Proton Tanjung Malim, manakala harganya akan diumumkan dalam majlis pelancaran rasmi yang akan dianjur dalam masa terdekat.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan kenderaan ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: PROTON

Exit mobile version