PUBG MOBILE secara rasmi menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang membuka laluan baharu kepada pembangunan bakat dalam industri e-sukan dan digital di Malaysia.
Kerjasama berskala nasional ini melibatkan rangkaian kampus UiTM di seluruh negara dan memberi fokus kepada pembangunan kemahiran pelajar dalam bidang permainan, e-sukan serta ekonomi digital masa hadapan. Pelajar UiTM bakal menikmati pelbagai peluang termasuk penempatan akademik, latihan industri dan penglibatan dalam projek penyelidikan.
Selain itu, kerjasama turut merangkumi penubuhan kelab e-sukan rasmi, penganjuran kejohanan kampus dan pelbagai aktiviti interaktif bagi mengasah kemahiran kompetitif serta kreativiti pelajar. Dalam masa sama, kedua-dua pihak akan bekerjasama menganjurkan simposium, persidangan dan kursus jangka pendek bagi memperkukuh perkongsian ilmu dalam bidang pengajaran, pembangunan pelajar serta penyelidikan.
Pada masa hadapan, kerjasama ini dijangka memperkenalkan kejohanan kampus PUBG MOBILE di seluruh UiTM yang membuka peluang kepada pelajar untuk bersaing di peringkat lebih tinggi termasuk liga e-sukan profesional. Selain itu, inisiatif khas juga akan dilaksanakan bagi menyokong pembangunan bakat pencipta kandungan dalam kalangan pelajar bagi memperkukuh kehadiran mereka dalam ekosistem digital.
Majlis menandatangani MoU tersebut turut disaksikan oleh Ahmad Maslan bersama barisan kepimpinan kedua-dua pihak. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

