Site icon TechNave BM

PUBG Mobile lancarkan kerjasama dengan siri animasi BoBoiBoy

PUBG Mobile hari ini secara rasmi melancarkan kerjasama dengan siri animasi 3D Malaysia popular iaitu BoBoiBoy yang diterbitkan oleh MONSTA. Kerjasama PUBG Mobile x BoBoiBoy akan dibahagikan kepada 2 fasa pada Oktober 2022 dan Januari 2023.

Dalam satu kenyataan hari ini, PUBG Mobile berkata bahawa fasa 1 kerjasama itu akan menumpukan pada estetika dan acara permainan teras manakala fasa 2 akan memberi lebih tumpuan kepada pembangunan watak dan pembinaan komuniti.

Untuk fasa pertama, pemain PUBG Mobile akan dapat mengakses kandungan eksklusif BoBoiBoy dalam game mulai sekarang hingga 31 Oktober 2022. Ini termasuk acara BoBoiBoy Elemental Rush yang membolehkan pengguna mengumpul dan menggabungkan 7 elemen teras daripada siri animasi 3D BoBoBoy.

Pemain boleh menebus barangan eksklusif seperti beg galas, topi keledar, payung terjun, perhiasan, semburan graffiti dan bingkai avatar. Bagi fasa kedua pada Januari 2023, PUBG Mobile akan mengeluarkan 2 watak eksklusif yang diilhamkan oleh hero BoBoiBoy dan Fang.

Dengan kerjasama MONSTA, PUBG Mobile akan menumpukan pada pembangunan watak dengan menganjurkan pertandingan carian suara di seluruh negara untuk mencari suara rasmi untuk watak eksklusif. PUBG Mobile turut mengumumkan bahawa kerjasama ini akan dilancarkan juga di Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Myanmar, Hong Kong dan Taiwan.

Menariknya, PUBG Mobile dan MONSTA akan melancarkan pengiklanannya di Menara TS Law yang terletak di tengah Kuala Lumpur. Peminat PUBG MOBILE dan BoBoiBoy boleh melihat iklan tersebut dari 17 hingga 30 Oktober 2022. Apa pendapat anda tentang kerjasama ini?

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version