Site icon TechNave BM

PUBG MOBILE Squad Showdown jelajah enam negeri bermula di Johor Bahru esok

PUBG MOBILE secara rasmi memulakan saingan Squad Showdown iaitu sebuah kejohanan berteraskan komuniti yang bakal menjelajah ke seluruh negara bermula esok. Acara berskala nasional ini akan berlangsung sehingga 15 Mac 2026 yang akan bermula di Johor Bahru esok (20 Jan), diikuti Kuala Lumpur (21 Feb), Kuantan (27 Feb), Ipoh (28 Feb) serta beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak pada Mac depan.

Pertandingan dijadualkan berlangsung pada waktu malam, bermula jam 10.00 malam hingga 1.00 pagi. Bagi pengunjung yang hadir ke lokasi acara, pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk peluang memenangi Helmet ARC melalui cabutan bertuah. Sebanyak 56 unit helmet eksklusif yang bernilai antara RM300 hingga RM340 tersedia untuk dimenangi di seluruh negara.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menerima barangan eksklusif PUBG MOBILE serta baucar makanan dan minuman percuma. Selaras dengan ketibaan bulan Ramadan, PUBG MOBILE turut melaksanakan inisiatif amal dengan menyediakan kotak sumbangan di setiap lokasi. Pihak penganjur juga akan menyalurkan sumbangan berjumlah RM500 bagi setiap lokasi kepada masjid berdekatan sebagai tanda sokongan terhadap komuniti setempat.

Hanya dua skuad terbaik daripada setiap lokasi akan layak mara ke peringkat Online Finals yang dijadualkan pada 13 hingga 15 Mac depan. Maklumat lanjut mengenai kejohanan ini boleh didapati menerusi platform media sosial rasmi PUBG MOBILE Malaysia. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version