Kerajaan negeri Pulau Pinang bersama Majlis Hijau Pulau Pinang (PGC) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang dalam proses menyediakan sembilan stesen pengecas motosikal elektrik (e-motosikal) di sekitar pulau itu. Buat permulaan, hanya tiga stesen beroperasi setakat ini.
Tiga stesen tersebut terletak di Astaka Persiaran Gurney, kompleks makanan Medan Renong (Padang Kota Lama) dan Astaka Batu Lanchang. Enam lokasi lain yang akan beroperasi dalam masa terdekat ialah kompleks 1st Avenue, kompleks MBPP Lebuh Pantai, kompleks Desiran Tanjung (Tanjong Tokong), kompleks Sri Selera Bayan Baru, Kompleks Bukit Jambul dan kompleks makanan Bukit Gedung.
Setiap lokasi pengecasan akan mempunyai dua tempat letak motosikal awam yang dikhaskan untuk tujuan ini. Untuk pengetahuan, semua stesen pengecasan adalah percuma untuk kegunaan awam. Langkah ini bertujuan mempromosikan penggunaan e-motosikal selaras dengan visi Pulau Pinang untuk mengurangkan jejak karbon sebanyak 50% menjelang 2030.
Tambahnya, kerajaan negeri juga mengalu-alukan pengeluar e-motosikal tempatan dan syarikat penghantaran barangan/makanan untuk bekerjasama dalam menyediakan lebih banyak stesen pengecasan e-motosikal percuma bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada kenderaan sifar pelepasan karbon.
Pada masa ini, kadar penggunaan motosikal di Pulau Pinang dianggarkan sekitar sejuta unit tetapi kurang daripada 1% daripadanya adalah motosikal elektrik. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia.
Sumber: Facebook MBPP

