PUSPAKOM Sdn Bhd akan memperkenalkan transaksi pembayaran tanpa tunai serta pengeluaran laporan dan resit pemeriksaan tanpa kertas di pusat pemeriksaannya. Pelaksanaan transaksi digital ini akan beroperasi di semua 54 pusat pemeriksaan PUSPAKOM di seluruh negara mulai 1 Julai 2022.
Pembayaran digital semakin meningkat di Malaysia terutamanya semasa penularan wabak COVID-19. Maka, pelaksanaan “No Cash, No Paper” di Puspakom adalah sangat tepat pada masanya kerana ia mengurangkan interaksi bersemuka antara orang ramai dan kakitangan. Ia juga selaras dengan proses dan inisiatif automasi dan pendigitalan Puspakom.
Jelasnya, semua transaksi akan direkodkan dan disimpan dalam pangkalan data Puspakom sekali gus meningkatkan ketelusan dan integriti Puspakom. Data itu juga akan membolehkan pengguna memantau aktiviti kewangan dan transaksi berkaitan pemeriksaan kenderaan mereka di Puspakom.
Pelaksanaan transaksi digital adalah lanjutan daripada sistem MyPUSPAKOM yang mula diperkenalkan pada 2017. MyPUSPAKOM adalah platform untuk mengatur temu janji dan pembayaran dalam talian melalui FPX, kad debit, kad kredit dan e-dompet.
Transaksi tanpa kertas juga lebih mesra alam kerana ia mengurangkan penggunaan kertas dengan resit dan laporan pemeriksaan akan dihantar melalui e-mel kepada pelanggan. Selain kad debit dan kredit, e-dompet yang akan diterima oleh Puspakom termasuk e-dompetnya sendiri, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia.
Sumber: Facebook Puspakom

