Site icon TechNave BM

Qualcomm kerjasama dengan CXMT untuk hasilkan DRAM tersuai bagi telefon pintar

Industri telefon pintar terus berdepan tekanan rantaian bekalan dengan kekurangan memori kini menjadi isu semakin kritikal susulan peningkatan permintaan terhadap perkakasan AI dan kapasiti pengeluaran yang terhad. Laporan baharu mendedahkan bahawa Qualcomm kini bekerjasama dengan Changxin Memory Technologies (CXMT) untuk membangunkan DRAM tersuai khusus bagi kegunaan telefon pintar.

Situasi ini berpunca daripada peralihan fokus pengeluar memori kepada high-bandwidth memory (HBM) yang lebih diperlukan untuk aplikasi AI. Kesan ketidakseimbangan dirasai berbeza mengikut segmen di mana peranti mercu masih mampu menyerap kenaikan kos manakala model bajet dan pertengahan lebih terkesan. Untuk kos, memori kini menjadi antara komponen paling mahal dalam sesebuah telefon pintar.

DRAM sahaja dianggarkan merangkumi kira-kira satu pertiga daripada jumlah kos komponen dan apabila digabungkan dengan storan NAND, jumlah tersebut melebihi separuh daripada keseluruhan kos pembinaan peranti. Ini menyukarkan pengeluar mengekalkan harga tanpa mengurangkan spesifikasi lain. Tekanan juga mula mempengaruhi strategi pengeluaran cip dengan Qualcomm dan MediaTek dilaporkan mengurangkan tempahan cip kelas pertengahan berasaskan proses 4nm.

Kerjasama antara Qualcomm dan CXMT dilihat sebagai langkah strategik untuk mendapatkan kawalan lebih baik terhadap rantaian bekalan selain berpotensi menstabilkan kos untuk rakan pengeluar. DRAM tersuai yang dibangunkan bersama CXMT dijangka memberi kelebihan kepada ekosistem tempatan dalam menghadapi kekangan semasa.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version