Syarikat semikonduktor Qualcomm telah berkongsi visi awalnya untuk rangkaian wayarles Wi-Fi 8, juga dikenali sebagai IEEE 802.11bn, di mana ia bukan sahaja akan memfokuskan pada kelajuan yang pantas, malah hubungan yang lebih stabil di tempat yang sibuk.
Tidak seperti generasi Wi-Fi sebelum ini yang mengutamakan kelajuan pantas, Wi-Fi 8 merancang untuk memperbaiki konsistensi hubungan. Qualcomm kini sedang membangunkan fungsi seperti Coordinated Spatial Reuse, Coordinated Beamforming dan Dynamic Sub-Channel Operation.
Ia membenarkan titik akses untuk bekerjasama dengan lebih pintar, lantas mengurangkan pelanggaran signal (signal collision), peningkatan kependaman secara mengejut (latency spikes) dan kejatuhan paket (packet drops).
Wi-Fi 8 dijangka akan menawarkan:
- Peningkatan sehingga 25% untuk trafik data dalam kawasan sibuk
- Penurunan sehingga 25% untuk kes kependaman yang sangat rendah
- Kejatuhan paket yang lebih rendah sehingga 25% sewaktu merayau (roaming)
Kelajuan internet tertinggi yang ditawarkan oleh Wi-Fi 8 ialah sama seperti Wi-Fi 7 (sehingga 23Gbps). Walaupun tiada peningkatan kelajuan, ia menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih stabil di kilang-kilang pintar, hospital, lapangan terbang, stadium dan bangunan perumahan yang mempunyai signal Wi-Fi yang saling bertindan.
Ia akan mengekalkan frekuensi yang sama seperti generasi Wi-Fi 7 iaitu 2.4GHz, 5GHz dan 6GHz.
Untuk jadual pengenalannya, Draft 1 IEEE 802.11bn dijangka akan diperkenalkan pada tahun ini. Kemudian, ia akan menerima pengiktirafan Wi-Fi Alliance pada Januari 2028 dan pengiktirafan terakhir oleh IEEE disasar akan diberikan pada Mac 2028.
Kebanyakan pengguna internet dalam Malaysia tidak menerima kelajuan maksimum yang ditawarkan oleh Wi-Fi 7 kerana selalunya kita mengalami gangguan yang ketara dalam tempat yang ramai orang seperti kondominium, pejabat dan kafe. Dengan pembangunan Wi-Fi 8, mungkin kita akan mula menikmati hubungan yang lebih stail.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Qualcomm

