Apple telah memperkenalkan cipset komputer M1 yang diperkenalkan dalam beberapa komputer riba Macbook pada tahun lepas dan cipset tersebut telah mendapat sambutan yang hangat daripada para pengguna. Kini, Qualcomm dilaporkan sedang membangunkan cipset komputer yang baru bagi menyaingi cipset Apple M1.
Menurut sumber, cipset yang akan bersaing dengan Apple M1 ini berada di bawah jenama Snapdragon dengan nombor model SC8280. Cipset ini juga akan disasarkan kepada komputer riba ARM dengan Windows 10, seperti yang digunakan oleh siri cipset Snapdragon 8cx.
Qualcomm kini berada dalam fasa pengujian untuk cipset ini dan ia mungkin akan dilancar lewat tahun ini. Ujian cipset tersebut dilakukan dalam dua buah komputer riba berukuran 14 inci, satu dengan RAM LPDDR5 sebanyak 8GB manakala satu lagi dengan RAM LPDDR4X sebanyak 32GB.
Cipset komputer terbaru oleh Qualcomm ini dijangka akan mempunyai saiz die yang lebih besar berbanding Snapdragon 8cx, memberikan lebih banyak ruang untuk teras CPU serta meningkatkan prestasi. Qualcomm juga dilaporkan akan mengutamakan prestasi dan bukannya kecekapan tenaga.
Adakah anda merasakan Qualcomm mampu menghasilkan pesaing kepada Apple M1? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WCCF Tech

