Site icon TechNave BM

Qualcomm Snapdragon 7s Gen 2 dilancar: Cipset telefon kelas pertengahan 4nm, diperkenalkan dalam Redmi Note 13 Pro

Qualcomm telah melancarkan sebuah cipset yang terbaru untuk telefon pintar kelas pertengahan iaitu Qualcomm Snapdragon 7s Gen 2. Ia menawarkan prestasi yang lebih rendah berbanding Snapdragon 7 Gen 2 dan telefon pertama yang akan dilengkapi cipset ini ialah Redmi Note 13 Pro.

Dalam sebuah siaran media, Qualcomm mengatakan Snapdragon 7s Gen 2 akan dilengkapi CPU Kryo dengan empat teras berprestasi tinggi pada kelajuan clock 2.4GHz dan empat teras kecekapan 1.95GHz. Unit grafik pula ialah Adreno GPU yang boleh menjana visual pada resolusi Full HD+ dengan kadar segar semula sehingga 144Hz.

Untuk memori, ia juga boleh dilengkapkan dengan RAM LPPDR5 sehingga 12GB dan storan UFS 4.0. Ia boleh dihubungkan dengan rangkaian 5G kerana ia dilengkapi modem Snapdragon X62 5G dengan kadar pemindahan data sehingga 2.9Gbps serta menyokong teknologi gelombang milimeter 5G.

Selain itu, ia dilengkapi signal pemproses imej Qualcomm Spectra 12-bit ISP yang menyokong input daripada tiga kamera serentak, sensor 200MP dan rakaman video 4K 30fps. Cipset ini turut dilengkapi teknologi Snapdragon Listening untuk panggilan audio yang jelas.

Redmi Note 13 Pro akan menjadi telefon pertama yang dilengkapi Snapdragon 7s Gen 2, dan telefon itu akan dilancar di China pada 21 September 2023. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Qualcomm

Exit mobile version