Site icon TechNave BM

Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 Plus dan 7 Gen 1 mungkin akan dilancar pada 20 Mei 2022

Syarikat semikonduktor dari Amerika Syarikat (AS), Qualcomm, telah mengesahkan bahawa mereka akan menganjurkan sebuah acara pelancaran pada hari Jumaat, 20 Mei 2022 jam 8:00 malam di China. Mereka tidak menyatakan nama produk yang akan dilancar, namun mereka dijangka akan melancarkan cipset baru dalam siri Snapdragon.

Dua cipset yang dijangka itu termasuklah cipset telefon pintar andalan Snapdragon 8 Gen 1 Plus dan cipset telefon pintar pertengahan Snapdragon 7 Gen 1, iaitu cipset Qualcomm kelas pertengahan pertama yang menggunakan nama sedemikian.

Snapdragon 8 Gen 1 Plus bakal mempunyai prestasi yang lebih pantas berbanding Snapdragon 8 Gen 1, di mana ia akan dibuat dengan nod proses 4nm oleh Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) dan bukannya Samsung. Ia dikhabarkan bakal mempunyai teras utama Cortex X2 2.99GHz, tiga teras Cortex A710 dan empat teras Cortex A510.

Untuk Snapdragon 7 Gen 1 pula, ia mungkin dilengkapi teras utama ARM Cortex A710 2.3GHz, teras ARM Cortex A510 1.8GHz dan GPU Adreno 662.

Telefon pertama yang dikhabarkan bakal dilengkapi Snapdragon 8 Gen 1 Plus adalah Xiaomi 12 Ultra, manakala telefon pertama dengan Snapdragon 7 Gen 1 pula mungkin adalah OPPO Reno8.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki telefon dengan cipset baharu oleh Qualcomm dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Qualcomm Weibo

Exit mobile version