Site icon TechNave BM

Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 dilancar: Cipset telefon Android tercanggih untuk 2023

Dalam acara Snapdragon Summit 2022 yang berlangsung pada waktu ini, syarikat semikonduktor terkemuka Qualcomm telah memperkenalkan cipset telefon pintar premium terbaharu iaitu Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2. Cipset ini menawarkan pelbagai penambahbaikan daripada pelbagai aspek, termasuklah pemprosesan AI, imej, prestasi gaming, rangkaian 5G dan banyak lagi.

Snapdragon 8 Gen 2 menampilkan pemprosesan Qualcomm Hexagon Processor yang meningkatkan prestasi kecerdasan buatan (AI) sebanyak 4.35 kali lebih pantas berbanding cipset sebelumnya. Ia juga mempunyai format ketepatan (precision format) AI INT4 yang meningkatkan kecekapan sebanyak 60 peratus untuk setiap watt.

Untuk pemprosesan imej pula, ini adalah cipset pertama yang dilengkapi Cognitive ISP (image signalling processor) untuk menala setiap gambar secara profesional. Ia juga boleh digabungkan dengan sensor imej Samsung ISOCELL HP3 200MP untuk kualiti imej yang lebih teliti, manakala kehadiran codec AV1 membenarkan tontonan video 8K HDR 60fps.

Cipset ini turut mempunyai pemprosesan grafik Qualcomm Adreno yang dinaik taraf dan menawarkan tekapan cahaya dalam masa nyata (real-time hardware-accelerated ray tracing) serta prestasi lebih pantas sebanyak 25 peratus. CPU Qualcomm Kryo pula meningkatkan kecekapan tenaga sebanyak 40 peratus untuk hayat bateri yang lebih lama sewaktu bermain game.

Daripada segi rangkaian komunikasi, ini adalah cipset Snapdragon pertama yang menyokong 5G+5G/4G Dual-SIM Dual-Active, bermaksud ia boleh gunakan dua kad SIM 5G pada masa yang sama. Hubungan 5G akan dikendalikan oleh Snapdragon X70 Modem-RF System untuk kelajuan sehingga 10Gbps. Dengan Qualcomm FastConnect 7800, ia turut menyokong hubungan Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.3 yang lebih pantas.

Buat penggemar audio, Snapdragon 8 Gen 2 menyokong audio ruangan (spatial audio) dengan jejakan kepala dinamik (dynamic head-tracking) untuk pengalaman audio persekitaran yang lebih menyeluruh. Ia juga boleh memainkan fail muzik lossless 48kHz dan sewaktu gaming pula, ia memainkan audio dengan tindak balas latency serendah 48 milisaat.

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Snapdragon 8 Gen 2:

Jenama telefon yang bakal melancarkan peranti dengan Snapdragon 8 Gen 2 termasuklah ASUS ROG, HONOR, iQOO, Motorola, nubia, OnePlus, OPPO, REDMAGIC, Redmi, SHARP, Sony, vivo, Xiaomi, MEIZU dan ZTE. Telefon-telefon pertama akan mula dilancar pada hujung 2022.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan cipset ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version