Samsung Electronics dilaporkan telah menghantar sampel awal cip pemproses (AP) generasi baharu berasaskan teknologi 2nm kepada Qualcomm yang menandakan potensi kerjasama besar antara dua gergasi semikonduktor itu.
Langkah ini juga dilihat sebagai petanda positif terhadap peningkatan prestasi dan keyakinan terhadap keupayaan proses pengeluaran cip 2nm Samsung. Menurut sumber, Samsung menggunakan proses pengeluaran SF2 2nm dengan seni bina Gate-All-Around (GAA) yang menawarkan kawalan lebih tepat terhadap aliran arus dan penjimatan tenaga lebih baik.
Samsung kini sedang memastikan kestabilan hasil dan kualiti pengeluaran bagi memenuhi keperluan Qualcomm. Selepas penghantaran sampel, Qualcomm dijangka menjalankan ujian prestasi dan kebolehpercayaan selama antara enam bulan hingga setahun sebelum membuat keputusan sama ada untuk menempah cip tersebut dalam jumlah besar.
Samsung berpotensi menjadi salah satu pembekal utama bagi cip Snapdragon generasi seterusnya yang digunakan dalam peranti Android. Walaupun TSMC masih menjadi pengeluar utama untuk cip Snapdragon, langkah ini menunjukkan usaha Samsung mengukuhkan semula kedudukannya dalam pasaran pembuatan cip premium.
Sumber turut menyebut kemungkinan bahawa sebahagian pengeluaran cip untuk peranti seperti Galaxy Z Flip8 akan dijalankan di kilang Samsung sendiri. Perkembangan ini turut menyumbang kepada kenaikan harga saham Samsung Electronics yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek perniagaan semikonduktor syarikat itu dalam tempoh mendatang.
Kongsi pendapat anda di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: New Daily

