Qualcomm secara rasmi memperkenalkan cipset Snapdragon 6 Gen 4 yang direka untuk merapatkan jurang antara cip bajet dan pemproses kelas mercu. Menurut Qualcomm, ia menawarkan peningkatan 11% prestasi CPU, 29% keupayaan grafik lebih baik dan penjimatan kuasa sehingga 12% berbanding generasi sebelumnya.
Snapdragon 6 Gen 4 dibina menggunakan proses 4nm dan menampilkan konfigurasi 8 teras CPU yang terdiri daripada 1× Cortex-A720 (2.3 GHz), 3× Cortex-A720 (2.2 GHz) dan 4× Cortex-A520 (1.8 GHz). Ia turut dipadankan dengan GPU Adreno 810 dan Hexagon NPU yang dioptimumkan untuk tugasan kecerdasan buatan (AI).
Cipset menyokong sehingga 16GB RAM LPDDR5 (3200 MHz) dan storan UFS 3.1. Dari segi keupayaan kamera, ia menyokong sensor sehingga 200MP bersama fungsi pemprosesan imej dan video berasaskan AI yang lebih canggih. Selain itu, modem 5G berkelajuan tinggi, Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.4 dan sokongan audio premium melalui aptX turut melengkapi cipset ini.
Untuk gaming, Snapdragon 6 Gen 4 menyokong paparan kadar segar semula tinggi dan pemprosesan grafik lanjutan bagi pengalaman permainan yang lebih lancar. Walaupun diletakkan dalam kategori pertengahan, Snapdragon 6 Gen 4 membawa banyak ciri yang sebelum ini hanya terdapat pada cip kelas premium.
Ini memberi peluang kepada pengeluar telefon pintar untuk menawarkan pengalaman hampir mercu pada harga lebih mampu milik. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Qualcomm

