Qualcomm secara rasmi memperkenalkan dua cip mudah alih baharu iaitu Snapdragon 6 Gen 5 dan Snapdragon 4 Gen 5 dengan fokus utama kepada pengalaman gaming lebih lancar, AI lebih pintar dan peningkatan prestasi untuk telefon kelas pertengahan serta mampu milik.
Bagi Snapdragon 6 Gen 5, Qualcomm menyatakan cip tersebut menawarkan peningkatan GPU sehingga 21% selain pelancaran aplikasi lebih pantas dan pengurangan masalah screen stutter sehingga 18%. Ia turut hadir dengan sokongan Wi-Fi 7, Bluetooth 6.0, enjin AI dipertingkat serta teknologi Adaptive Performance Engine 4.0 untuk pengalaman permainan yang lebih stabil.
Qualcomm juga memperkenalkan ciri baharu dikenali sebagai Snapdragon Smooth Motion UI yang memfokuskan animasi dan navigasi lebih lancar. Sementara itu, Snapdragon 4 Gen 5 dilihat membawa lonjakan lebih besar dalam segmen permulaan apabila Qualcomm mendakwa peningkatan GPU sehingga 77%.
Lebih menarik, ini merupakan kali pertama siri Snapdragon 4 menyokong permainan sehingga 90FPS. Platform tersebut juga menyokong teknologi Dual SIM Dual Active (DSDA), membolehkan sambungan 5G digunakan secara serentak bersama 5G atau 4G pada SIM kedua.
Qualcomm mengesahkan beberapa pengeluar utama termasuk HONOR, OPPO, realme dan REDMI akan menggunakan platform baharu ini pada peranti akan datang. Telefon pertama yang menggunakan Snapdragon 6 Gen 5 dan Snapdragon 4 Gen 5 dijangka mula memasuki pasaran global pada separuh kedua tahun 2026.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Qualcomm

