Site icon TechNave BM

Qualcomm X65 dilancar : Modem 5G pertama dunia dengan kelajuan 10 Gbps

Terbaru, Qualcomm melancarkan model 5G generasi keempat mereka termasuklah modem 5G pertama dunia yang menawarkan kelajuan wayarles sehingga 10 Gbps. Selain dari X65, Qualcomm juga memperkenalkan X62, modem 5G yang lebih berpatutan.

Kedua-dua modem ini berasaskan 3GPP Release 16 yang dipanggil sebagai “Fasa kedua 5G”. Yang menarik, Qualcomm memberitahu bahawa modem ini diperbuat dari seni bina yang boleh ditingkatkan. Ini bermakna ciri baru 5G boleh ditambah melalui kemas kini perisian.

Qualcomm X65 menawarkan kelajuan muat turun sehingga 10 Gbps dengan jalur lebar 1000 MHz, manakala X62 mempunyai kelajuan sehingga 4.6 Gbps dengan jalur lebar 400 Mhz (ia juga masih menyokong sub-6 dan mmWave).

Qualcomm X65 dan X62 direka untuk berfungsi dengan antena mm Wave QTM545, yang mampu untuk memancar pada kuasa yang lebih tinggi dan menyokong semua frekuensi mmWave global, termasuk jalur n259 (41 Ghz) yang baru.

Selain itu, Qualcomm juga menghasilkan teknologi penalaan antena AI pertama dunia yang dapat mengesan tangan pengguna dengan lebih baik dan dapat menambah baik kelajuan data, liputan dan ketahanan bateri peranti.

Tambahan lagi, Qualcomm juga perkenalkan ciri 5G PowerSave 2.0 yang dapat mengurangkan penggunaan kuasa sebanyak 10%.

Modem baru dari Qualcomm ini dikatakan akan mula digunakan oleh peranti elektronik pada hujung tahun 2021. Modem ini akan digunakan pada telefon pintar dan juga untuk peranti pemasangan tetap.

Adakah anda meminati teknologi baru dari Qualcomm? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version