Site icon TechNave BM

Rainbow Six Mobile diumum, tampilkan “game” mirip Rainbow Six Siege untuk telefon pintar

Ubisoft telah mengumumkan sebuah game mudah alih terbaharu iaitu Rainbow Six Mobile (R6M) yang diinspirasikan daripada game tembak-menembak popular Rainbow Six Siege.

Seperti Siege, R6M adalah sebuah game tembak-menembak pandangan pertama (first-person shooter) yang menempatkan dua pasukan iaitu Attackers dan Defenders. Dua pasukan ini masing-masing mempunyai lima pemain dan perlu melengkapkan objektif mereka tersendiri untuk memenangi pusingan.

Rainbow Six Siege terkenal dengan mod permainan melibatkan orang tahanan, di mana Attackers perlu menyelamatkan orang tahanan dalam sebuah lokasi manakala Defenders pula perlu menghapuskan pasukan lawan. Oleh itu, mod yang serupa mungkin akan diperkenalkan dalam R6M.

R6M telah pun dibangunkan sejak tiga tahun lalu dan ia mempunyai sistem corak permainan dan antara muka yang dikhaskan untuk peranti mudah alih. Buat masa ini, Ubisoft masih belum menyatakan tarikh pelancaran game ini namun anda boleh mendaftar diri di laman web R6M terlebih dahulu untuk menjadi pemain awal dalam fasa alpha.

Ubisoft juga menegaskan bahawa R6M tidak akan menggantikan Rainbow Six Siege yang masih hangat dimainkan dalam konsol Xbox dan PlayStation serta komputer. Ini adalah game mudah alih terbaru yang dihasilkan daripada game popular dalam konsol, selepas Apex Legends Mobile dan PUBG Mobile.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan game ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Ubisoft

Exit mobile version