Site icon TechNave BM

BPN, Dalgona Coffee, realme 6 Pro antara carian Google tertinggi di Malaysia

Google Malaysia hari ini telah menyenaraikan Year In Search untuk tahun 2020 bagi melihat kembali trend carian di kalangan rakyat Malaysia sepanjang tahun ini. Antara trend yang paling menarik adalah rakyat Malaysia menjadi pengguna Google yang paling gigih dalam dunia mencari resepi makanan, dengan perkataan seperti Dalgona Coffee, Dalgona Milo, Biscoff Cheesecake dan Kek Tornado berada tinggi dalam senarai Google.

Di samping itu, carian untuk bantuan kewangan juga meningkat pada tahun ini, dengan perkataan seperti Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Sara Hidup dan KWSP i-Lestari, mySalam, semakan LHDN dan Geran Khas Prihatin mendapat carian tertinggi.

Sudah tentu dengan penularan wabak COVID-19, carian berkenaan langkah pencegahan koronavirus juga mendapat sambutan tinggi. Turut terlibat dalam kategori ini adalah penghargaan kepada warga perubatan dan barisan hadapan dalam menangani wabak ini, dengan Thank You Coronavirus Helpers mendapat carian yang tinggi.

Daripada segi telefon pintar, iPhone 12 merupakan antara peranti yang paling banyak dicari, seperti yang boleh dijangkakan. Walau bagaimanapun, sembilan daripada sepuluh telefon yang paling dicari adalah daripada jenama realme, menunjukkan bahawa jenama tersebut mendapat sambutan yang tinggi daripada rakyat Malaysia.

Siri TV juga tidak ketinggalan dalam carian tertinggi di Google, dengan siri seperti 7 Hari Mencintaiku 2, The World of the Married dan Crash Landing On You mendapat carian tertinggi. Filem Korea yang memenangi Oscar, Parasite, juga mendapat carian hangat pada tahun ini walaupun ia ditayangkan pada 2019.

Untuk senarai penuh Year In Search, layari laman web Google Trends. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version