Kerajaan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menetapkan bahawa individu-individu bukan warganegara AS yang ingin melawat negara itu dan mendaftarkan diri untuk visa, perlu menetapkan tetapan privasi profil media sosial mereka kepada “awam”. Ini adalah sebahagian daripada prosedur baru oleh jabatan imigresen AS dalam pendaftaran dan semakan pendaftar visa.
Kedutaan-kedutaan AS di pelbagai negara telah pun mengumumkan perkara ini dalam media sosial mereka, termasuklah United Kingdom, Korea Selatan dan Indonesia. Kedutaan AS di Malaysia masih belum mengumumkan perkara ini dalam media sosial, namun ia telah pun disenaraikan dalam laman web kedutaan AS di Malaysia.
Prosedur baharu ini melibatkan visa bukan pemastautin (nonimmigrant visa) jenis F (visa pelajar), M (visa vokasional yang ditaja oleh pihak ketiga) atau J (visa pertukaran budaya). Jika anda sekadar ingin melawat AS sebagai pelancong atau urusan perniagaan, anda akan mendaftarkan diri untuk visa B dan prosedur baharu ini mungkin tidak melibatkan anda buat masa ini.
Tindakan ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah kerajaan AS untuk mengetatkan imigrasi ke negara tersebut. Kerajaan AS baharu yang dikepalai presiden Donald Trump dilihat semakin mengetatkan pintu-pintu masuk negaranya sejak beliau menjadi presiden pada awal tahun ini.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

