Rapid Bus Sdn Bhd akan memperkenalkan 13 zon baharu bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand serta melancarkan aplikasi tempahan baharu iaitu Rapid On-Demand bermula Isnin ini. Daripada jumlah itu, 11 zon baharu boleh ditempah menerusi aplikasi baharu ini termasuk laluan seperti MRT Semantan ke KTM Segambut, MRT Bukit Dukung ke Sungai Sekamat dan beberapa kawasan lain yang melibatkan sambungan ke stesen MRT utama.
Dua zon tambahan iaitu Kota Kemuning-Gamuda Walk Mall dan LRT Alam Megah-Alam Megah, pula boleh ditempah melalui aplikasi Kummute. Menurut Ketua Operasi Kumpulan Rapid Bus, Amir Hamdan, aplikasi Rapid On-Demand direka untuk memudahkan pengguna membuat tempahan serta meningkatkan pengalaman perjalanan harian mereka.
Beliau menjelaskan bahawa inovasi ini memberi penekanan kepada kemampanan, kecekapan dan mesra pengguna, sekali gus bertujuan menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama penduduk Lembah Klang. Perkhidmatan Rapid KL On-Demand kini merangkumi 47 zon yang beroperasi setiap hari daripada jam 6 pagi hingga 11.30 malam dengan harga promosi hanya RM1 setiap perjalanan.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: NST

