Site icon TechNave BM

Rapid On-Demand tamatkan tambang RM1, kadar tetap RM2 bermula Februari ini

Perkhidmatan pengangkutan berasaskan permintaan, Rapid On-Demand (ROD), akan melaksanakan tambang tetap RM2 bagi setiap perjalanan bermula 1 Februari 2026 dan menggantikan tambang promosi RM1 yang diperkenalkan sebelum ini.

Penetapan tambang baharu ini dibuat susulan penamatan fasa bukti konsep (Proof of Concept, POC) perkhidmatan berkenaan serta bagi memastikan kelestarian operasi jangka panjang. Tambang RM2 akan dikenakan kepada semua pengguna termasuk pemegang pas My50, Rapid Kota, Rapid Kembara dan Rapid Keluarga.

Pada masa sama, kemudahan konsesi masih diteruskan untuk golongan tertentu termasuk diskaun 50 peratus kepada pemegang Rapid Pelajar dan Rapid Emas di Lembah Klang manakala pemegang Rapid Mesra (OKU) serta pengguna pas tertentu di Pulau Pinang masih layak menggunakan perkhidmatan itu secara percuma.

Dalam perkembangan berkaitan, Prasarana turut merancang untuk memperluaskan operasi Rapid On-Demand dengan memperkenalkan 300 van elektrik (EV) secara berperingkat antara akhir 2027 hingga akhir 2028. Daripada jumlah itu, 130 van EV akan ditempatkan di Lembah Klang manakala 170 van EV akan beroperasi di Pulau Pinang.

Liputan zon perkhidmatan Rapid On-Demand juga akan diperluaskan daripada 82 zon sedia ada yang merangkumi 71 zon di Lembah Klang dan 11 zon di Pulau Pinang dengan penambahan zon baharu di kedua-dua kawasan bagi meningkatkan kebolehcapaian pengguna.

Selain peluasan liputan, Prasarana memaklumkan penambahbaikan berterusan turut akan memberi tumpuan kepada aspek kebolehcapaian untuk golongan orang kurang upaya (OKU) sejajar dengan usaha meningkatkan kualiti dan inklusiviti perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bernama

Exit mobile version