Site icon TechNave BM

Razer Hammerhead True Wireless X dilancar di Malaysia: Fon telinga dengan Gaming Mode berharga RM349

Razer Malaysia hari ini telah memperkenalkan sepasang fon telnga wayarles terbaru untuk kegunaan gamers dan pendengar harian iaitu Razer Hammerhead True Wireless X. Ciri utama produk ini adalah fungsi Gaming Mode yang menyediakan masa tindak balas (latency) serendah 60ms sahaja di antara fon telinga dengan peranti yang dihubungkan.

Fon telinga ini dilengkapi pemacu (driver) 13mm dan menyokong pemasangan Google Fast Pair untuk peranti Android atau Bluetooth 5.2 untuk dihubungkan dengan komputer, tablet atau konsol gaming.

Seperti fon telinga wayarles lain, Hammerhead True Wireless X boleh dikawal menggunakan kawalan sentuh (touch controls) pada kedua-dua belah fon telinga untuk menjawab panggilan telefon, mengawal kelantangan suara atau mengaktifkan Gaming Mode. Untuk tetapan yang lebih terperinci, pengguna boleh memuat turun aplikasi Hammerhead True Wireless X untuk mengubah kawalan sentuh atau pencahayaan LED.

Buat mereka yang gemar mengenakan aksesori bergaya, fon telinga ini mempunyai lampu LED hijau yang menyala sewaktu ia digunakan. Baterinya mampu bertahan sehingga 24 jam jika LED dihidupkan, namun ia boleh dipanjangkan kepada 28 jam jika LED dipadam.

Razer Hammerhead True Wireless X boleh mula dibeli bermula hari ini dengan harga RM349. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan fon telinga Razer ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version