Site icon TechNave BM

Razer ingin beri pelitup muka percuma kepada semua rakyat Malaysia

Razer Fintech telah berganding bahu dengan Berjaya Corporation untuk memberikan pelitup muka surgikal kepada semua orang dewasa di Malaysia secara percuma sebagai sebahagian daripada inisiatif #RazerForLife . Pelitup muka ini boleh didapati melalui kedai 7-Eleven terpilih di Semenanjung Malaysia bermula Rabu, 1 Julai.

Untuk mendapatkan pelitup muka tersebut, anda hanya perlu membayar untuk sebarang item di 7-Eleven menggunakan aplikasi e-dompet Razer Pay. Selain itu, pengguna Razer Pay yang berbelanja sekurang-kurangnya RM10 di kedai-kedai tempatan juga layak mendapatkan pelitup muka di 7-Eleven. Ini juga adalah sebahagian daripada usaha Razer untuk menggalakkan sokongan terhadap perniagaan tempatan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Pengguna Razer Pay boleh mendapatkan sehingga lima pelitup muka surgikal, satu untuk setiap bulan bermula Julai sehingga November 2020. Pelitup muka tersebut dihasilkan oleh Razer Health, sebuah badan yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura dan juga mencapai piawaian Amerika ASTM 1 dan Eropah EN 14683 untuk mutu penapisan yang tinggi.

Beritahu kami di Facebook jika anda ingin mendapatkan pelitup muka melalui inisiatif #RazerForLife dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version