Site icon TechNave BM

Razer menuju arus dunia gaming mantap dengan peranti gaming terbaru di CES 2020

Institusi gaming yang semakin berkembang memberi inspirasi kepada syarikat berjenama besar untuk mengeluarkan peranti gaming yang dapat memuaskan gamer. Terkini, Razer yang sememangnya terkenal dalam dunia peranti gaming telah melancarkan empat peranti gaming terbaru di CES 2020.

Salah satu peranti gaming yang dilancarkan adalah controller gaming mudah alih Razer Kishi. Bukan sahaja menyasarkan kepada pengguna Razer Phone 2, Razer Kishi turut disasarkan kepada pengguna telefon pintar lain melalui kolaborasinya dengan Gamevice. Dilengkapi dengan sambungan USB-C dan Apple Lightning, Razer Kishi sesuai digunakan oleh peranti Android atau peranti iOS yang terpilih.

Razer Sila 5G Home Router khusus untuk gamer dengan ultra-latency rendah juga menjadi tarikan di CES 2020. Router ini dikuasai enjin Fastrack yang merupakan enjin buatan Razer sendiri.

Tidak cukup dengan itu, Sila 5G dilengkapi Qualcomm SDX55 untuk menyokong sambungan 5G dan 4G LTE. Kehadiran cipset Hawkeye IPQ8072A pula membantu sokongan WiFi 6.

Untuk melengkapkan lagi sistem gaming persendirian anda, Razer juga membawa Razer Tomahawk untuk pembinaan komputer gaming. Razer Tomahawk hadir dengan processor Intel Core-i9, RAM 64GB dan super grafik NVIDIA GeForce RTX 2080.

Reka bentuk ringkasnya pastinya menarik perhatian anda. Untuk pengetahuan anda, Razer Tomahawk merupakan sistem modular komputer pertama yang menggunakan casis Razer Tomahawk N1.

Dunia gaming yang semakin meluas telah mewujudkan arena e-sukan. Arena e-sukan pastinya memerlukan simulator yang cekap dan mantap. Razer Eracing Simulator menggunakan teknologi daripada Vesaro, visual tontonan Full HD 202 degree daripada Simpit, pengawal stereng daripada Fanatec dan Synthesis VR.

Dengan kesemua peranti gaming di atas, Razer bakal membawa para gamer ke dunia gaming yang lebih maju. Tidak cukup dengan itu, Razer juga mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan komputer riba gaming pada tahun ini.

Adakah anda gamer sejati yang memerlukan salah satu atau semua peranti gaming daripada Razer ini? Luahkan komen anda di laman Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita gaming terkini.

Exit mobile version