Site icon TechNave BM

Razer umumkan topeng N95 lutsinar, dilengkapi mikrofon, pembesar suara dan lampu RGB

Razer adalah jenama yang sinonim dengan perkakasang gaming, namun syarikat tersebut telah memperkenalkan sebuah produk yang agak unik dan berlainan daripada produk gaming sewaktu Pameran Elektronik Pengguna (CES) semalam. Razer telah memperkenalkan Project Hazel iaitu sebuah topeng muka unik bagi membantu pemakai untuk melindungi diri daripada sebarang wabak penyakit.

Untuk melindungi pemakai daripada kuman berbahaya, ia mempunyai penapis N95 yang boleh dicabut dan dicas semula serta Smart Pods untuk memudahkan aliran udara. Razer mengatakan topeng tersebut mampu menapis 95% zarah dan bendalir dalam udara.

Bagi tujuan bersosial, topeng muka ini mempunyai permukaan lutsinar yang bertujuan untuk menampakkan reaksi muka seperti senyuman dan gelak ketawa. Ia turut mempunyai lampu yang diaktifkan secara automatik dalam suasana gelap agar muka pemakai boleh terus terserlah.

Malah untuk membantu percakapan, topeng ini dilengkapi teknologi Razer VoiceAmp dengan mikrofon dan pembesar suara (amplifier) untuk menguatkan suara pemakai yang dikaburkan di sebalik topeng. Dan seperti produk-produk Razer yang lain, topeng muka ini mempunyai hiasan penchayaan Chroma RGB yang boleh menjana 16 juta warna.

Razer mengatakan topeng ini masih lagi dalam fasa ujian. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan topeng ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version