Site icon TechNave BM

Razer Viper V2 Pro dilancar di Malaysia: Tetikus “gaming” wayarles ringan berharga RM749

Jenama perkakasan gaming terkenal Razer telah melancarkan tetikus wayarles terbaharu yang dikhaskan untuk penggiat e-sukan iaitu Razer Viper V2 Pro. Tetikus ini menampilkan berat yang lebih rendah berbanding Razer Viper sebelum ini serta pelbagai fungsi baharu untuk meningkatkan kelebihan gamers.

Berat Razer Viper V2 Pro adalah lebih ringan sebanyak 20 peratus berbanding Viper Ultimate bagi memudahkan gerakan tangan. Selain itu, ia mempunyai sensor Focus Pro 30K Optical Sensor untuk ketepatan resolusi sebanyak 99.8% serta menawarkan fungsi Smart Tracking, Motion Sync dan Asymmetric Cut-off.

Fungsi Asymmetric Cut-off kini boleh dilaraskan sebanyak 26 tahap ketinggian, lebih banyak berbanding tiga tahap dalam produk sebelum ini. Daripada segi klik, tetikus ini mempunyai Razer Optical Mouse Switches Gen-3 yang boleh bertahan sebanyak 90 juta klik dan tiada lengah debounce delay.

Tetikus ini boleh dicas menggunakan port USB-C dan turut mempunyai butang kawalan DPI untuk melaras tahap sensitiviti dengan lebih mudah sewaktu bermain game. Dalam kotak, pelanggan akan turut menerima pita kesat (grip tape), kabel pengecasan Razer Speedflex dan dongle USB HyperSpeed 2.4GHz.

Razer Viper V2 Pro ditawarkan dalam warna putih dan hitam dan akan dijual pada harga RM749 di Shopee dan Lazada. Beritahu kami di Facebook jika anda akan membelinya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version