Site icon TechNave BM

realme 6 dilancarkan di Malaysia, telefon kelas pertengahan dengan 4 kamera pada harga RM999

realme Malaysia hari ini melancarkan produk terbaru, realme 6, yang merupakan telefon kelas pertengahan dengan empat kamera serta prestasi mobile gaming yang pantas. Ia akan mula dijual di Lazada pada 27 Mac ini dengan harga promosi RM799 (harga asal: RM999) dalam masa yang terhad.

Telefon realme 6 ini dilengkapi dengan skrin Ultra Smooth Display berukuran 6.5 inci dengan kadar segar semula (refresh rate) 90Hz, RAM 4GB, storan 128GB, bateri 4,300mAh, realme UI berdasarkan Android 10 serta empat kamera AI yang terdiri daripada sensor utama 64MP, sensor ultra-lebar 8MP, sensor makro 2MP dan sensor potret hitam-putih 8MP.

Manakala untuk kamera selfie pula adalah kamera 16MP dengan apertur f/2.0 yang menyokong mod smart beauty dan kesan bokeh. Ia juga dilengkapi cipset MediaTek Helio G90T untuk prestasi gaming yang lebih pantas serta boleh dicas penuh secepat 60 minit dengan pengecasan pantas 30W Flash Charge.

Ia akan dijual pada harga RM999 dan terdapat dalam dua pilihan warna iaitu biru Comet Blue atau putih Comet White. Buat masa yang terhad pada 27 Mac, 12:00 tengah malam hingga 2:00 pagi, anda boleh membelinya dengan harga RM799 sahaja di Lazada.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan mendapatkan telefon realme 6 ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version