Hari ini, realme secara rasmi telah melancarkan beberapa produk terbaru mereka iaitu realme 8s 5G, realme 8i dan realme Pad. Acara pelancaran ini dibuat secara dalam talian di saluran YouTube rasmi milik realme.
realme 8s 5G dilengkapi cipset Dimensity 810, RAM 6GB/8GB, panel skrin FHD+ 6.5 inci, segar semula skrin 90Hz, storan dalaman 128GB, bateri berkapasiti 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W dan paparan antara muka realme UI 2.0 beroperasi atas Android 11.
Bahagian belakangnya menempatkan tiga buah kamera yang mana kamera utamanya mempunyai resolusi 64MP, sensor kedalaman 2MP dan makro 2MP. Pada skrin hadapannya terdapat lubang (punch hole) yang memuatkan kamera swafoto 16MP.
realme 8s 5G memiliki teknologi Dynamic Range Expansion (DRE) yang mana ia boleh menukarkan storan dalaman yang tidak digunakan kepada RAM. Maksimum RAM yang boleh diperoleh ialah 5GB. Selain itu, telefon ini mempunyai sambungan 5G, dwi-SIM dan slot kad mikro-SD.
Telefon ini tersedia dalam dua varian iaitu 6GB + 128GB berharga Rs 17,999 (~RM 1,014) dan 8GB + 128GB berharga Rs 19,999 (~RM 1,127). Ia juga tersedia dalam dua pilihan warna iaitu biru Universe Blue dan ungu Universe Purple.
Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan realme 8s 5G dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

