Site icon TechNave BM

realme bakal lancarkan model ‘Ultra’ pertama tidak lama lagi dengan realme P3 Ultra 5G

realme baru-baru ini memperkenalkan penggoda pertama untuk model terbaharu mereka, realme P3 Ultra yang akan menjadi tambahan eksklusif untuk pasaran India. Telefon pintar ini dijangka menjadi varian paling premium dalam siri P3 yang mengungguli model P3 Pro yang sedia ada.

Daripada segi reka bentuk, poster yang dikeluarkan menunjukkan peranti berwarna kelabu dengan tepi rata, butang kuasa berwarna oren di sebelah kanan dan tetapan dwi-kamera di sudut kiri atas. Ini menandakan perbezaan daripada modul kamera bulat yang terdapat pada P3 Pro.

Walaupun spesifikasi teknikal belum diumumkan secara rasmi, penyenaraian Geekbench baru-baru ini menunjukkan bahawa P3 Ultra mungkin dilengkapi dengan cipset Dimensity 8350, RAM 12GB dan menjalankan Android 15.

Ia juga dijangka hadir dalam konfigurasi tunggal dengan RAM 12GB dan storan 256GB. Untuk harga, memandangkan varian tertinggi P3 Pro dengan konfigurasi 12/256GB berharga Rs 26,999 di India, P3 Ultra mungkin ditawarkan di bawah tanda harga Rs 30,000 (~RM1,520).

Ini menjadikannya pesaing yang berpotensi untuk POCO X7 Pro yang dikuasakan oleh Dimensity 8400. Dengan pelancaran teaser ini, realme P3 Ultra dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada akhir bulan ini. Terdapat juga spekulasi bahawa Realme P3 5G yang dikuasakan oleh Snapdragon 6 Gen 4 mungkin dilancar bersama-sama dengannya.

Nantikan berita lanjut mengenai telefon paling berkuasa daripada realme jika ia akan dilancarkan secara global dan kongsi pendapat anda di Facebook kami serta teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version