Site icon TechNave BM

realme Buds Air 5 Pro dan realme Watch 3 Pro dilancar di Malaysia, bermula RM399

Selain melancarkan siri telefon pintar realme 11 Pro, pada hari ini realme Malaysia turut melancarkan beberapa peranti aksesori iaitu fon telinga wayarles realme Buds Air 5 Pro dan jam tangan pintar realme Watch 3 Pro.

realme Buds Air 5 Pro dilengkapi protokol audio LDAC HD, pemacu bass 11mm untuk menjana audio yang jelas dan pembatalan hingar (noise cancellation) yang bagus untuk harganya, dengan tahap pembatalan sehingga 50dB dan berkesan sehingga 99.6%.

Ia juga menawarkan mod 40ms Super Low Latency untuk para gamers yang mengutamakan audio dengan tindak balas cepat. realme mengatakan fon telinga ini boleh berfungsi dalam jarak sehingga 10 meter dan menawarkan pengalaman audio 360 darjah untuk pendengaran yang lebih mengasyikkan.

realme Buds Air 5 Pro ditawarkan dalam warna Sunrise Beige dan Astral Black, dan akan dijual pada harga RM399. Ia boleh dibeli dari Shopee, Lazada dan TikTok.

Sementara itu, realme Watch 3 Pro pula dilengkapi skrin AMOLED berukuran 1.78 inci yang agak besar untuk seutas jam tangan pintar. Ia boleh memaparkan notifikasi, penjejakan senaman dan akses kepada banyak aplikasi dengan mudah.

Ia dilengkapi cip dual-mode Bluetooth untuk panggilan telefon yang lebih jelas dan penggunaan bateri yang rendah. Sewaktu bersenam, ia dilengkapi penjejakan GPS yang tepat untuk menjejak jarak dan kelajuan senaman oleh pengguna.

realme berkata jam tangan ini menawarkan sokongan untuk 110 sukan seperti berjalan kaki, berlari, berbasikal dan banyak lagi sukan popular. Baterinya pula boleh bertahan sehingga 10 hari.

realme Watch 3 Pro akan dijual dalam pasaran Malaysia pada harga RM429 dan boleh dibeli dari Shopee, Lazada dan TikTok.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mana-mana produk di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version