Selepas melancarkan realme C65 untuk pasaran Malaysia pada awal bulan ini, kini realme Malaysia mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan telefon seterusnya dalam siri telefon mampu milik realme C iaitu realme C61 pada hari Jumaat, 2 Ogos 2024.
realme mengatakan peranti mampu milik ini dibina bagi memenuhi permintaan pelanggan untuk memiliki produk yang tahan lasak dalam kategori telefon mampu milik. realme C61 mempunyai kebolehan untuk menyerap hentakan daripada jatuhan yang tidak sengaja, serta rating IP54 bagi melindunginya daripada percikan air dan debu.
Selain rekaan yang kukuh, realme C61 mempunyai permukaan belakang yang berkilauan, dihasilkan melalui proses micro-nano lithography untuk rekaan yang menarik. Telefon ini mempunyai ketebalan 7.84mm bagi memudahkan genggaman pada tangan pengguna.
Sebelum ini, realme C61 telah pun dilancar di India. Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Unisoc T612, RAM 4GB atau 6GB, storan 64GB atau 128GB dan bateri 5,000mAh, manakala di hadapan, skrinnya mempunyai panel LCD berukuran 6.78 inci dengan resolusi HD+ dan kadar 90Hz.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan realme C61 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

