Site icon TechNave BM

realme C63 dilancar di Malaysia: Cas pantas 45W, hiasan “leather”, skrin 90Hz bermula RM599

Pada hari ini, realme Malaysia melancarkan telefon pintar kelas permulaan realme C63 yang menawarkan reka bentuk menarik serta spesifikasi yang cukup untuk kegunaan harian.

Walaupun ia adalah sebuah telefon mampu milik, realme C63 mempunyai permukaan belakang yang dibuat daripada kulit vegan (vegan leather), membuatkannya nampak eksklusif dan seperti telefon yang lebih mahal. Ia merupakan telefon realme C pertama yang mempunyai hiasan kulit.

Perlu diingati bahawa hiasan kulit itu hanya ditawarkan untuk pilihan warna biru Leather Blue, manakala warna hijau Jade Green mempunyai permukaan belakang plastik yang berkilauan sahaja.

Satu lagi ciri menarik adalah kadar pengecasan pantas 45W yang boleh mengecas daripada 0% hingga 50% dalam masa 30 minit sahaja. Pengecasan selama satu minit pula sudah cukup untuk membuat panggilan telefon selama satu jam.

Selain itu, ia mempunyai ciri-ciri yang selalunya hanya terdapat pada telefon flagship, seperti Isyarat Udara (Air Gestures) yang membenarkan anda mengawal telefon dengan gerakan tangan sahaja dan Sentuhan Pintar Air Hujan (Rainwater Smart Touch) yang akan mengesan sentuhan anda pada skrin dengan tepat, walaupun skrin dibasahi air hujan.

Ia turut menawarkan lain-lain fungsi yang terdapat pada realme C sebelum ini seperti Butang Dinamik, AI Call Noise Reduction, Mini Capsule 2.0, Riding Mode dan pembesar suara UltraBoom yang boleh meningkatkan volume sehingga 200%.

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk realme C63:

realme C63 boleh dibeli di Kedai Jenama realme, pengedar sah atau secara atas talian di laman rasmi realme Malaysia dalam Shopee, Lazada dan TikTok. Pelanggan yang membelinya sebelum 6 Julai 2024 akan menerima pelindung skrin secara percuma.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan realme C63 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version