Site icon TechNave BM

realme C71 dilancar: Skrin 120Hz, bateri 6,300mAh, cas pantas 45W bermula ~RM650

realme telah melancarkan telefon terbaru dalam siri telefon mampu milik realme C iaitu realme C71. Seperti kebanyakan telefon realme C sebelum ini, ia mempunyai spesifikasi yang menarik untuk sebuah peranti yang dijual pada harga ratusan Ringgit.

realme C71 mempunyai skrin LCD berukuran 6.67 inci dengan resolusi 720×1604 dan kadar segar semula 120Hz. Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Unisoc T7250, RAM 4GB atau 6GB, storan dalaman 128GB dan bateri 6,300mAh yang menyokong kadar pengecasan pantas 45W SuperVOOC.

Untuk fotografi, ia mempunyai kamera belakang 50MP AI Camera dan kamera hadapan 5MP. Untuk rangkaian wayarles, ia menyokong rangkaian 4G sahaja, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, NFC dan GPS. Sistem operasinya menggunakan Android 15 dengan realme UI.

Pilihan warnanya ditawarkan dalam dua iaitu hijau dan putih. Ia turut mempunyai pengiktirafan MIL-STD-810H yang boleh tahan impak jatuh setinggi 1.5 meter.

Buat masa ini, realme C71 dilancar di Vietnam sahaja dengan harga bermula VND3,990,000 (~RM650). Memandangkan realme Malaysia kerap melancarkan telefon realme C, telefon ini mungkin akan turut dilancar di sini dalam masa terdekat.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version