realme Malaysia bakal melancarkan telefon pintar mampu milik realme C85 Series tidak lama lagi. Dengan pelancaran yang semakin hampir, mereka telah berkongsi beberapa spesifikasi untuk telefon ini seperti kapasiti baterinya dan rating kalis air.
realme C85 Series bakal mempunyai bateri besar 7,000mAh yang boleh menyediakan penggunaan sehingga dua hari. Walaupun baki bateri tinggal 1% sahaja, ia masih boleh menyediakan panggilan telefon selama 40 minit atau waktu sedia (standby) selama sembilan jam.
Ia juga mempunyai mod AI Power Saving yang menyediakan tenaga bersamaan 400mAh, supaya anda oleh panjangkan panggilan telefon selama 2.8 jam dan waktu sedia selama 43.9 jam. Untuk penggunaan jangka masa yang panjang, walaupun dengan penggunaan selama enam tahun, bateri ini masih boleh mengekalkan kapasitinya sebanyak lebih 80%.
Bateri ini menyokong kadar pengecasan pantas 45W SUPERVOOC yang boleh mengecas daripada 0 hingga 50 peratus dalam masa 30 minit sahaja. Di samping itu, pengecasan selama 5 minit sahaja sudah cukup untuk penggunaan selama 1.5 jam.
Untuk perlindungan, ia dilengkapi rating kalis air IP69K, IP69, IP68 dan IP66 supaya ia boleh dilindungi daripada cuaca Malaysia yang kerap hujan. Ini menjadikannya telefon pertama dengan rating kalis air IP69K/69/68/66 yang mempunyai bateri sebesar 7,000mAh.
Setakat ini realme Malaysia masih belum menyediakan tarikh pelancarannya, namun promosi pembelian awal sudah pun bermula sehingga 25 Januari 2026. Anda akan menerima rebat RM300, perlindungan lanjutan 1 tahun dan perlindungan air.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

