Site icon TechNave BM

realme GT 6 bakal dilengkapi skrin paling cerah dalam dunia

realme bakal melancarkan siri telefon pintar andalan (flagship) realme GT 6 pada 20 Jun 2024 dan maklumat mengenai reka bentuk dan spesifikasinya telah pun dikongsi sedikit oleh realme. Kini, syarikat teknologi China itu mendedahkan bahawa skrin realme GT 6 bakal memiliki skrin yang paling cerah untuk sebuah telefon pintar.

Skrin realme GT 6 bakal mempunyai kecerahan puncak (peak brightness) sehingga 6,000 nits Ultra Bright Display, membuatkan skrin ini sangat mudah dilihat walaupun di bawah cahaya matahari terik.

Selain itu, ia juga dilengkapi beberapa teknologi HDR dan Pro-XDR yang dikhaskan untuk meningkatkan pengalaman sewaktu bermain game. Apabila diaktifkan, ia boleh meningkatkan jurang dinamik (dynamic range) serta menjana imej dengan warna yang lebih terang dan hitam yang lebih gelap untuk imej keseluruhan yang lebih cantik.

Skrin ini juga mempunyai teknologi LTPO 8T yang menawarkan penjimatan penggunaan tenaga sehingga 20%. Ia berfungsi dengan merendahkan kadar segar semula (refresh rate) skrin sewaktu pengguna sedang menonton imej yang statik seperti mesej atau artikel, kemudian meningkatkan kadar tersebut untuk imej yang bergerak pantas.

Ia turut mempunyai pemalapan (dimming) PWM 2,160Hz untuk pengalaman tontonan yang lebih selesa pada mata, serta teknologi AI yang boleh mengubah kecerahan dan suhu warna skrin jika ia digunakan dalam situasi malap.

Anda boleh baca artikel ini untuk maklumat lanjut mengenai spesifikasi realme GT 6. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version