Site icon TechNave BM

realme GT 8 Pro Aston Martin diumum, tampilkan hiasan kereta F1 dengan UI khas

Selepas melancarkan telefon pintar flagship realme GT 8 Pro pada bulan lalu di China, realme kini mengumumkan edisi khas untuk telefon tersebut iaitu realme GT 8 Pro Aston Martin Limited Edition. Ini merupakan telefon kedua realme yang dibina dengan kerjasama Aston Martin selepas realme GT 7 Dream Edition dilancar pada bulan Mei lalu.

Di belakang, telefon ini mempunyai warna hijau turqoise yang sinonim dengan skema warna pasukan F1 Aston Martin Aramco, serta corak garisan berwarna kuning dan logo khas. Bonggol kameranya pula mempunyai permukaan yang dibuat daripada gentian karbon.

Ia didatangkan dalam sebuah kotak khas dengan aksesori bertemakan F1 seperti dua sarung telefon, alat pembuka kad SIM khas dan pengecas.

Sewaktu telefon ini dihidupkan, ia mempunyai antara muka (UI) khas bertemakan Aston Martin Aramco, termasuklah ikon, gambar latar belakang (wallpaper) dan gambar skrin kunci (lockscreen).

Spesifikasinya sama seperti realme GT 8 Pro yang dilancar sebelum ini. Ia dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5, skrin AMOLED 6.79 inci 144Hz, RAM 16GB, storan dalaman 1TB, bateri 7,000mAh dan pengecasan pantas 120W.

Untuk kamera, ia dilengkapi kamera utama 50MP, kamera telefoto periskop 200MP dan kamera ultra-lebar 50MP. Di hadapan, ia mempunyai kamera swafoto 32MP.

Telefon edisi khas ini akan dijual di China pada harga CNY5,499 (~RM3,220). Setakat ini masih tiada maklumat mengenainya untuk pasaran Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version