Site icon TechNave BM

realme GT Master Edition dalam pembikinan, akan dilancar dalam masa terdekat

Pada tahun 2019 lalu, realme telah melancarkan edisi istimewa untuk telefon pintar siri realme X yang hadir dengan nama Master Edition. Edisi istimewa tersebut adalah hasil kerjasama bersama pereka bentuk Jepun Naoto Fukasawa. Terbaru, sumber dalam talian memberitahu bahawa realme sedang dalam proses untuk menghasilkan sebuah lagi telefon Master Edition iaitu realme GT Master Edition.

Baru-baru ini, CMO realme Xu Qi telah memuat naik sebuah gambar beliau bersama Fukasawa dan beberapa eksekutif realme yang lain. Walaupun catatan tersebut tidak mempunyai perkataan ‘Master Edition’ tetapi ia sudah cukup untuk mengesahkan ura-ura mengenai kehadiran realme GT Master Edition.

Pada masa yang sama, terdapat juga sumber lain yang menyatakan bahawa peranti seterusnya dari realme adalah realme GT Master Edition, bukannya siri realme X9.

Siri realme X9 bakal dilancarkan pada pertengahan bulan Julai. Jadi, realme dijangkakan akan perkenalkan realme GT Master Edition dahulu dalam beberapa hari akan datang. Telefon pintar ini akan mempunyai reka bentuk panel belakang yang baru, namun masih mengekalkan spesifikasi lain yang sama seperti yang asal.

realme GT 5G dilengkapi skrin Super AMOLED 120Hz, kamera utama 64MP, cipset Snapdragon 888, RAM 12GB dan bateri 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 65W.

Adakah anda meminati telefon pintar Master Edition dari realme? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version