Site icon TechNave BM

realme GT Neo 3 Thor Love and Thunder Edition bakal dilancar, sokong pengecasan pantas 150W

Naib Presiden realme, Madhav Sheth telah mendedahkan varian edisi terhad khas realme GT Neo 3 150W. Sebelum ini, syarikat itu pernah bekerjasama dengan Marvel Studios untuk pelancaran realme X Spider-Man Edition dan kini mereka membawa Thor Love and Thunder Edition.

realme mengumumkan GT Neo 3 150W Thor Love and Thunder Edition sempena tayangan filem itu di India pada 10 Julai nanti. Namun, Sheth tidak mendedahkan butiran telefon pintar ini. Kami juga masih tertanya-tanya sama ada ia akan membawa varian 80W atau tidak. 

Kami menjangkakan GT Neo 3 150W Thor Love and Thunder edisi menampilkan beberapa reka bentuk serta perubahan antara muka (UI). Pembelian telefon pintar edisi terhad ini juga mungkin dihantar bersama dengan beberapa barangan percuma dan kotak runcit tersuai.

Berkemungkinan juga, realme GT Neo 3 150W Thor Love and Thunder Edition akan hadir dengan spesifikasi yang sama seperti varian standard. Telefon pintar ini mempunyai paparan FHD+ AMOLED 6.7 inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz, pengimbas cap jari serta tri-kamera Sony IMX766 50MP dengan sokongan OIS, lensa sudut ultra lebar 8MP dan unit makro 2MP. 

GT Neo 3 dilengkapi dengan cipset MediaTek Dimensity 8100, RAM 12GB dan storan 256GB. Ia mungkin menawarkan dua varian bateri iaitu 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 150W dan 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W.

realme GT Neo 3 versi sudahpun dijual di malaysia pada harga RM2,099, namun setakat ni tiada maklumat mengenai kehadiran versi Thor Love and Thunder Edition di Malaysia. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version