Selepas melancarkan siri telefon pintar andalan realme GT 7 Pro, kini realme mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan realme GT Neo7 pula pada bulan ini. Ketua Pegawai Pemasaran realme, Xu Qi, mengatakan dalam Weibo bahawa mereka akan melancarkan sebuah peranti baharu dalam siri realme GT Neo pada minggu hadapan, namun beliau tidak menamakan produk tersebut secara spesifik.
Beliau berkongsi sejarah produk dalam siri realme GT setakat ini, diakhiri dengan realme GT Neo6. Oleh itu, logik untuk kita andaikan bahawa telefon seterusnya adalah realme GT Neo7.
Menurut pengkhabar berita teknologi Digital Chat Station, telefon baharu ini akan dilengkapi bateri berkapasiti 7,000mAh dalam badan senipis 8.5mm sahaja. Jika benar, ini bakal menjadikan realme GT Neo7 telefon dengan bateri paling besar oleh realme setakat ini.
Antara spesifikasi yang dikhabarkan untuk telefon ini termasuklah cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 Leading Version, pengecasan pantas 80W dan skrin dengan resolusi 1.5K.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

