Site icon TechNave BM

realme GT3 dilancar di Malaysia: Cas pantas 240W, storan 1TB, skrin AMOLED 144Hz berharga RM2,799

realme Malaysia telah melancarkan telefon pintar kelas pertengahan atas (upper-midrange) terbaru iaitu realme GT3. Ciri paling penting pada peranti ini adalah ia menyokong teknologi pengecasan pantas SUPERVOOC 240W, iaitu kadar pengecasan yang paling pantas dalam sebuah telefon setakat ini.

Dengan kadar pengecasan setinggi 240W, telefon ini boleh mengecas penuh baterinya dalam masa sekitar 10 minit sahaja. Kami telah mencuba kadar pengecasan ini dan sememangnya ia menepati kenyataan tersebut.

Pengecas 240W itu turut disertakan dalam kotak dan walaupun dengan kadar pengecasan yang sangat tinggi, saiznya tidak banyak berbeza dengan pengecas lain yang memberikan kadar lebih rendah.

Selain itu, ia turut dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 yang boleh menjana prestasi pantas untuk kebanyakan aplikasi dan game, walaupun ia bukan lagi cipset tercanggih oleh Qualcomm pada hujung 2023.

Menariknya, realme hanya menawarkan satu sahaja varian memori untuk pasaran Malaysia iaitu storan 1TB dan RAM 16GB. Memandangkan harganya sekitar RM2,799 sahaja, ini adalah nilai yang sangat bagus untuk mendapatkan telefon dengan storan sebesar 1TB.

Satu lagi ciri menarik adalah skrin AMOLED berukuran 6.74 inci dengan kadar segar semula setinggi 144Hz untuk pengalaman tontonan video yang mengasyikkan serta penggunaan yang sangat lancar.

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk realme GT3:

Pra-tempahan akan dibuka pada hari ini dan esok (21 Disember) di realme Brand Store, pengedar bertauliah serta stor utama di TikTok, Shopee dan Lazada. Setiap pra-tempahan akan menerima hadiah realme TechLife Air Purifier Pro atau realme Buds T100, bergantung pada kombo pra-pesanan.

realme GT3 akan mula dijual secara rasmi di Malaysia pada 22 Disember. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version