Site icon TechNave BM

realme GT3 dilancar: Telefon pertama dengan cas pantas 240W bermula ~RM2,920

Dalam temasya Mobile World Congress (MWC) 2023 yang sedang berlangsung di Barcelona sekarang, realme telah memperkenalkan telefon pintar andalan terbaharu iaitu realme GT3. Tarikan utama untuk telefon ini adalah kadar pengecasannya yang memecah rekod iaitu setinggi 240W.

Kadar pengecasan pantas 240W ini adalah yang terpantas untuk sebuah telefon pintar komersial pada waktu terkini. Menurut realme, pengecasan penuh untuk bateri realme GT3 (berkapasiti 4,600mAh) dengan kadar pengecasan pantas ini memerlukan masa 9 minit 30 saat sahaja, manakala pengecasan daripada 0% ke 20% mengambil masa 80 saat sahaja.

Bagi membenarkan kadar pengecasan tinggi ini, realme GT3 akan didatangkan dengan kabel pengecasan USB-C 12A bagi menyediakan arus elektrik yang cukup, manakala pengecasnya dilengkapi teknologi gallium nitride (GaN). Walaupun dengan kadar 240W, saiz pengecas ini adalah lebih kecil daripada pengecas 150W.

realme juga memberi jaminan bahawa teknologi pengecasan 240W ini selamat digunakan. realme GT3 dilengkapi sistem penyejukan kamar wap cecair (vapour chamber liquid cooling) yang meliputi 61.5% daripada permukaan bateri untuk pelesapan haba yang lebih cekap.

Selain itu, ia juga dilengkapi rekaan kalis api PS3, 13 sensor suhu dan 60 lapisan keselamatan. realme GT3 turut mendapat pengiktirafan keselamatan oleh TÜV Rheinland, menjadikannya produk pengecasan 200W pertama yang mendapat pengiktirafan tersebut.

Untuk menjaga hayat bateri dalam tempoh yang lama, realme mengatakan bateri realme GT3 masih boleh kekal sebanyak 80% walapun selepas dicas sebanyak 1,600 kali dengan kadar 240W.

Selain daripada pengecasan 240W, realme GT3 dilengkapi spesifikasi lengkap untuk sebuah telefon kelas pertengahan. Ini termasuklah cipset Snapdragon 8+ Gen 1, skrin AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz serta kamera utama dengan sensor Sony IMX890 dan penstabilan imej optikal (OIS).

Varian memorinya adalah 8GB+128GB, 12GB+256GB, 16GB+256GB dan 16GB+1TB. realme GT3 akan dijual di pasaran antarabangsa pada harga bermula USD649 (~RM2,920) dan setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version