Site icon TechNave BM

realme GT5 Pro akan dilancar pada 7 Disember 2023, mungkin berharga ~RM2,300

realme mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar andalan (flagship) terakhirnya untuk tahun ini, realme GT5 Pro, pada hari Khamis, 7 Disember 2023 jam 2:00 petang di China. Syarikat teknologi itu telah pun mengesahkan bahawa realme GT5 Pro akan dilengkapi cipset tercanggih Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 3 dan kini mereka berkongsi lebih banyak maklumat mengenainya.

realme telah memuat naik beberapa poster yang menunjukkan rekaan telefon tersebut, di mana ia akan ditawarkan dalam warna oren dan hitam. Teksturnya berlainan, di mana warna oren mempunyai permukaan kulit vegan leather manakala warna hitam mempunyai permukaan kaca yang berkilauan.

Di belakang, ia mempunyai bonggol kamera berbentuk bulat yang menempatkan empat lensa dan satu lampu denyar LED. Kameranya terdiri daripada kamera telefoto periskop 50MP dengan sensor Sony IMX890 yang menyokong zum optikal sebanyak 3x.

Spesifikasi skrinnya turut didedahkan, di mana realme GT5 Pro akan dilengkapi skrin AMOLED berukuran 6.78 inci dengan resolusi 1.5K, panel LTPO untuk berikan kadar segar semula 144Hz adaptif, kecerahan puncak 4,500 nits, pemalapan 2,160Hz dan frekuensi bacaan sentuh 2,160Hz.

Untuk memori, realme GT5 Pro menawarkan storan sehingga 1TB. Sebuah poster turut menunjukkan bahawa ia menyokong hubungan USB 3.2 yang boleh memindahkan fail dengan lebih pantas sebanyak 10 kali ganda berbanding USB2.0.

Selain itu, realme GT5 Pro akan dilengkapi bateri 5,400mAh yang menyokong pengecasan pantas 50W. Ia turut mempunyai sistem penyejukan kamar wap seluas 12,000mm2 untuk meningkatkan pelesapan haba sewaktu bermain game.

Harganya belum diumumkan, namun sebuah laman e-dagang di China telah menerbitkan harganya secara tidak sengaja iaitu bermula CNY3,499 (~RM2,300).

Harga realme GT5 Pro yang tertiris

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version